Pasangan bahagia Que dan Cikgu Linda tidak sabar menunggu kelahiran cahayamata mereka. Que yang bakal menjadi bapa di katakan berdebar-debar dan tidak sabar untuk menjadi bapa. Linda Jasmine dijangka akan melahirkan anak pada Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia:
MELANGSUNGKAN pernikahan pada 14 Februari lalu bersama guru tari terkenal, Linda Jasmine, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar bakal melalui satu pengalaman baru dalam hidupnya tidak lama lagi.
Meniti hari menunggu detik dikalungkan gelaran sebagai seorang bapa, Linda yang sedang sarat mengandung ketika ini diberitakan akan melahirkan bayi perempuan sekitar 26 Oktober ini.
Dengan segala persiapan yang sudah pun disediakan baik berupa pakaian dan segala kelengkapan menyambut kelahiran insan baru dalam hidupnya, namun di hati Que, penuh bersarang perasaan gementar menanti saat penuh bahagia itu.
Mujur Que sudah pun mempunyai pengalaman menjaga anak dan ‘memangku’ tugas selaku bapa kepada Qalif Khan, 8, iaitu anak Linda hasil perkahwinan dahulu.
Bagaimanapun, pengalaman tersebut tidak menyamai dengan apa yang akan ditempuhinya nanti.
“Doktor menasihatkan supaya Linda menjalani pembedahan semasa bersalin nanti atas sebab-sebab tertentu.
“Sememangnya saya sangat berdebar. Insya-Allah, Linda akan bersalin di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang pada tarikh berkenaan.
“Semua kelengkapan sudah siap. Paling banyak adalah baju baby. Kami sudah terlebih berbelanja untuk pakaian sahaja,” katanya ketika ditemui pada sesi pratonton filem Papadom di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Jelas Que, selain kelengkapan daripada segi material, dia giat membaca bahan-bahan berbentuk ilmiah mengenai bagaimana persiapan untuk menjadi seorang bapa.
Panduan berhadapan dengan isteri mengandung juga, katanya, turut dibaca agar dapat mengetahui segala perihal mengenai kehendak dan perasaan mereka ketika berbadan dua.
“Nama pun sudah ada untuk bayi itu nanti. Nama itu saya yang berikan dan Linda bersetuju. Tetapi, inspirasi untuk mendapatkan namanya datang daripada Linda sendiri,’’ ujar Que yang mahu merahsiakan terlebih dahulu nama anaknya itu.
Ditanya mengenai perubahan yang berlaku ke atas Linda semasa isterinya itu mengandung, Que berkata, Linda kini lebih sensitif dan soal makan pun sudah berubah.
“Biasalah, kata orang, ini adalah pembawaan budak. Semasa mengandung, Linda suka sangat makan nasi ayam dan berubah menjadi seorang yang amat sensitif.
“Pada mulanya perubahan itu amat memeranjatkan saya. Kalau tiba masanya merajuk, saya kenalah pujuk baik-baik.
“Perubahan keadaan Linda bagaimanapun tidak menjejaskan kerja saya. Saya faham kerana pada waktu ini dia memerlukan perhatian dan sokongan,’’ katanya.
Gurauan Qalif
Sementara itu, bagi Qalif pula yang rapat dan memanggil Que dengan panggilan daddy, tidak sabar untuk melihat bakal adiknya. Dia bagaimanapun teringinkan seorang adik lelaki.
Dalam nada bergurau, Qalif berkata : “Saya tidak excited (teruja). Saya mahu baby boy nanti boleh jadi geng (kawan) macam daddy.’’
Amat menyayangi Que, namun Qalif secara ringkas memberitahu, Que merupakan seorang ayah yang garang.
Senang bekerja dengan Afdlin
Berbalik kepada Que, tatkala diketengahkan mengenai lakonannya dalam Papadom, dia amat gembira kerana dapat berlakon di bawah arahan Afdlin Shauki.
Menurut Que, Afdlin merupakan seorang pengarah filem yang mudah dirapati dan disenangi ramai.
“Saya melihat Afdlin menghasilkan filem bukan untuk keuntungan semata-mata. Dia bekerja dengan bersungguh-sungguh.
“Oleh sebab itu, sebagai pelakon, saya perlu berlaku jujur dengan diri sendiri agar membuat kerja dengan baik,’’ jelas Que yang sebelum ini pernah membintangi telemovie arahan Afdlin iaitu Orang Minyak Naik Minyak.
Menerusi Papadom, Que memegang watak sebagai Mat, seorang pelajar yang perwatakannya agak susah diramalkan dan menaruh rasa cinta terhadap Miasara lakonan Liyana Jasmay.
Bicara Aidilfitri Que
Kepada soalan tentang Aidilfitri pula, Que menjelaskan bahawa dia akan bercuti selama seminggu dan beraya di kampungnya di Johor sebelum pulang menyambut Hari Raya di ibu negara.
“Kali ini memang cukup berbeza. Kalau dahulu, saya hanya memikirkan persiapan untuk diri dan keluarga di kampung, tetapi sekarang sudah ada isteri dan Qalif.
“Tanggungjawab sudah semakin bertambah,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment