Thursday, September 10, 2009

Perjalanan indah Leya, Ashraf

Perjalanan indah Leya, Ashraf

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my



BAIK Leya mahupun Ashraf, masing-masing bersikap toleransi dalam menjaga Asha dan Aza.

--------------------------------------------------------------------------------



HAMPIR tiga bulan menjadi seorang ibu, Sharifah Aleya atau lebih dikenali sebagai Leya menyifatkan kehidupannya kini cukup bahagia dengan kehadiran Aza Ameena dan Asha Ameena.

Baru kini dia mengerti pengorbanan dan tanggungjawab yang perlu dipikul untuk menjadi seorang ibu yang baik.

"Saya harus mengakui bahawa perjalanan hidup saya begitu indah. Tempoh tiga bulan menjadi ibu menyedarkan saya ia anugerah terindah daripada Allah buat saya," luah Leya penuh jujur.

Aza dan Asha yang dilahirkan pada 26 Jun lalu merupakan hasil perkahwinan Leya bersama suaminya, Muhammad Ashraf Aasimudin selepas mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2007.

Secara kronologi, Aza merupakan bayi pertama Leya apabila 'melihat dunia' tepat pukul 11.46 pagi dengan berat 1.71 kilogram (kg) dan seminit selepas itu, giliran Asha yang seberat 1.98 kg pula.

Biarpun mengecapi momen indah bersama suami dan keluarganya, Leya tidak mampu menyembunyikan kegusaran dalam tempoh empat minggu sebaik bergelar ibu.

Malah Leya mengakui, tempoh itu merupakan waktu yang kritikal memandangkan Aza da Asha merupakan bayi pra matang yang memerlukan penjagaan rapi.

Aza dan Asha sepatutnya dilahirkan pada 3 Julai namun, atas nasihat doktor Leya harus menyegerakan proses bersalin bagi mengelakkan sebarang komplikasi baik kepada dirinya mahupun anak-anaknya.

Kerana itu juga, Leya tidak mampu bersalin secara normal memandangkan leher Aza terlilit dengan tali pusatnya.

Apatah lagi berat badan Aza yang kurang menyebabkan dia perlu di letakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hampir empat minggu.

Menceritakan pengalamannya, dia dan Ashraf harus berulang-alik ke hospital setiap hari untuk melihat kondisi anak mereka.

"Syarat untuk membenarkan mana-mana bayi pulang ialah bayi itu harus memiliki berat badan melebihi 1.8 kg. Asha melepasi syarat itu manakala Aza tidak.

"Jadi, bayangkanlah betapa sibuknya kami ketika itu. Perlu mengendalikan masalah anak dan saya pula masih lagi letih dan penat.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan berkat doa ahli keluarga, Aza dan Asha kini berada dalam keadaan sihat dan bertambah comel," kata Leya yang sibuk mengendong Aza.

Kerana itu jugalah, penyampai radio Hot FM ini memohon maaf kepada wartawan kerana tidak dapat memenuhi permintaan untuk merakamkan gambar anak-anaknya.

Selain daripada berdepan dengan masalah keadaan Aza, dia juga mahu menikmati dan menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak sebelum memperkenalkan The Little Divas (panggilan untuk Aza dan Asha) kepada wartawan.

"Justeru majlis bertemu media hari ini dianjurkan untuk saya beramah mesra dengan anda semua selain memperkenalkan anak-anak kami berdua," ujar Leya sambil dipersetujui oleh suaminya pada majlis bertemu media baru-baru ini.

Anak sulung daripada empat beradik yang juga anak kepada pasangan Fatimah Abu Bakar dan Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin al-Yahya itu juga ditanya mengenai maksud dan ilham di sebalik nama anak-anaknya itu.

"Asha membawa maksud harapan dalam bahasa Sanskrit manakala Aza pula adalah nama singkatan daripada Allahyarham nenek saya.

"Ameena pula merupakan nama yang cukup saya suka sejak kecil kerana nama itulah yang sepatutnya diberikan kepada adik saya, Sharifah Aryana.

"Tetapi, entah di mana silapnya nama itu tidak digunakan lalu saya ambil dan gunakan untuk anak-anak saya," tutur ibu muda berusia 26 tahun ini lagi.

Menjadi seorang ibu pada usia yang muda, Leya yang juga seorang aktres menjelaskan, ia bukan satu masalah baginya.

Malah, menjadi seorang Sharifah Aleya memang cukup bertuah kerana ruang lingkup hidupnya sentiasa dipenuhi dengan rasa cinta dan kasih sayang daripada orang sekelilingnya.

Kerana itu dia tidak mempunyai masalah dalam menjaga anak-anaknya kerana kebanyakan ahli keluarganya dengan rela hati membantunya dalam memberikan nasihat serta panduan menjaga bayi.

Bukan itu sahaja, tunjuk ajar daripada doktor juga banyak membantu Leya dan Ashraf membentuk jati diri dalam menjadi ibu bapa yang baik.

Leya juga memanjatkan kesyukuran kerana memiliki suami yang cukup bertanggungjawab serta memahami dan bijak berdepan dengan masalah membabitkan anak kembar mereka.

"Masalah utama ialah saya suka tidur dan sekelip mata sahaja akan terlelap. Bila tidur, saya memang tidur 'mati' dan tidak akan dengar apa-apa langsung. Jadi, tugas menjaga bayi waktu malam semuanya dikendalikan oleh Ashraf dan dia memang bijak dalam anak-anak.

"Itulah gunanya berkahwin dengan ahli muzik yang mempunyai banyak masa terluang," ujarnya berseloroh sambil memandang Ashraf di sisinya.

Bagi Ashraf pula, dia tidak kekok dalam hal pengendalian anak-anak kerana sudah biasa menjaga anak-anak saudaranya sebelum ini.

"Sebenarnya, menjaga anak kembar tidaklah susah mana pun. Cuma kita kena tahu bagaimana hendak melakukannya dengan cermat dan tertib tanpa perlu tergopoh-gapah.

"Semuanya saya lakukan sendiri dan Alhamdulillah, setakat ini saya mampu mengendalikannya dengan baik," katanya.

Baik Leya mahupun Ashraf, masing-masing mengakui kehidupan mereka sudah jauh berubah dan prioriti kini lebih buat anak-anak mereka.

"Kalau berada lama di luar, fikiran mula teringat pada anak-anak. Disebabkan itu, kalau ada majlis di luar kami akan segera pulang untuk bersama dengan Asha dan Aza.

"Begitu juga dengan saya, sejak kembali bertugas pada 31 Ogos lalu. Hati ini berat mahu meninggalkan anak-anak dan saya memang cemburu dengan Ashraf kerana anak-anak akan sentiasa bersama dengannya," ujarnya ketawa sambil memberitahu ibu masing-masing juga menjaga anak-anaknya jika keadaan memerlukan.

Riak bahagia dan gembira juga terpancar pada wajah Fatimah yang sibuk bergilir-gilir mengendong cucu-cucunya itu.

Menjadi seorang nenek memberi kegembiraan yang tidak terkata buat aktivis seni tersohor ini.

Malah, Fatimah sempat berkongsi cerita ketika Leya menyampaikan berita gembira itu kepada keluarganya.

"Pada hari dia melakukan pemeriksaan itu, sebenarnya dia sedikit trauma memandangkan pagi itu cermin keretanya dipecahkan.

"Kemudian, dengan ditemani Nani (Sharifah Amani) mereka berjumpa doktor. Menunggu kata-kata doktor cukup meresahkan mereka.

"Sebaik sahaja doktor mengatakan ada janin dalam perut Leya, mereka berdua terkejut dan melonjak kegembiraan. Pada sebelah malamnya, Leya datang kepada kami dan menyampaikan berita tersebut, suami saya pula yang teruja sambil menghentak meja," cerita Fatimah sambil ketawa.

Fatimah menggelarkan dirinya sebagai Tok Mama manakala suaminya pula sebagai Tok Lid (singkatan daripada perkataan Walid).

"Kelahiran cucu-cucu kami ini membawa rahmat dan ia cukup mengagumkan," katanya sambil merenung dan mencium pipi Asha berulang kali.

No comments:

Post a Comment